Makna web 2.0

Istilah Web 2.0 ini telah muncul untuk kali pertama dalam satu sesi perbincangan antara syarikat O'Reilly dengan MediaLive International. Menurut Tim O'Reilly, Web 2.0 adalah satu rangkaian platform, yang melibatkan semua peranti yang bersambungan membentuk dunia maya manakala aplikasi Web 2.0 adalah aplikasi yang memanfaatkan kesemua kelebihan intrinsik yang wujud di platform tersebut. Memberikan khidmat perisian yang sentiasa dikemas kini dan bertambah baik seiring pertambahan pengguna, menggunakan dan menggabungkan data daripada sumber berlainan, termasuk pengguna individu, namun pada masa yang sama turut menyediakan data dan khidmat yang boleh digabungkan oleh pengguna lain; mencipta kesan berangkai melalui "rekabentuk penyertaan" (architecture of participation), dan menembusi metafora helaian elektronik dalam Web 1.0 untuk menyampaikan pengalaman informasi yang mewah kepada pengguna.

Bertitik-tolak daripada idea tentang Web 2.0 ini, Ian Davis menyarankan bahawa Web 2.0 bukanlah merupakan suatu teknologi, tetapi sikap. Perubahan yang sedang melanda dunia maya sekarang adalah perubahan sikap perhubungan manusia dengan Internet, sedangkan teknologi yang digunakan masih lagi teknologi yang sedia ada. Perihal ini disokong oleh pendapat pengasas web, Tim Berners-Lee tentang Web 2.0. Beliau mengatakan bahawa Internet, tidak kira dalam makna yang cuba diberi oleh Web 1.0 atau 2.0, tetap merupakan suatu ciptaan yang terarah kepada perhubungan manusia manakala segala teknologi yang disifatkan sebagai Web 2.0 telah digembleng sejak permulaan kewujudan Internet lagi.

Meskipun ada banyak lagi suara bantahan mencabar ketepatan istilah Web 2.0 yang dianggap sebagai gimik perniagaan dan mengambil kesempatan atas perubahan yang melanda dunia Internet, namun penggunaannya telah merebak dengan cepat sekali di kalangan khalayak IT yang menyebabkan ia wajar diperbincangkan.

O'Reilly percaya aplikasi Web 2.0 mempunyai beberapa ciri khusus dan istimewa yang membezakannya dengan aplikasi-aplikasi Internet terdahulu yang didakwa sebagai aplikasi Web 1.0. Antaranya adalah perbezaan di antara laman web terdahulu yang statik dengan ciri-ciri blog yang lebih terbuka serta mengajak penyertaan dan masukan pengguna. Begitu juga dengan Britannica Online dan Wikipedia; di mana kedua-duanya adalah ensiklopedia tetapi Britannica mempunyai kawalan editorial ketat dan berbayar, manakala Wikipedia mempunyai sistem editorial terbuka tetapi percuma. Perbezaan lain turut didapati antara perisian Netscape dengan enjin carian Google, Akamai dengan BitTorrent, mp3.com dengan Napster, DoubleClick dengan Google Adsense, sistem taksonomi dengan folksonomi serta banyak lagi.

Secara keseluruhan, aplikasi Web 2.0 menjanjikan interaktiviti, keterbukaan, penyertaan orang ramai, perubahan daripada bentuk perisian yang perlu diselenggara oleh pengguna kepada bentuk servis yang sediakala dinamik, serta perkongsian dan pembebasan data - termasuk kod pemprograman, bahan dan idea - yang dapat membuka peluang ekonomi kepada golongan yang diistilahkan sebagai "Long Tail" iaitu orang awam termasuk kita semua.

Ini boleh disaksikan melalui rangkaian sosial popular seperti Facebook yang interaktif, terbuka kepada orang ramai dan semakin berkuasa apabila semakin ramai orang menyertainya. Keterbukaannya dalam perkongsian data tertentu memberi peluang kepada para pembuat aplikasi untuk mencipta aplikasi kecilan lain yang beroperasi sebagai tambahan atau tempelan kepada Facebook itu sendiri sehingga mampu menjana pendapatan daripadanya.

Contoh lain adalah aplikasi web LibraryThing (suatu kemudahan untuk mengkatalog buku dalam talian serta bertukar maklumat tentang buku sesama ahlinya) yang kini membuka data mereka melalui kaedah API (Application Programming Interface) kepada pihak perpustakaan untuk memanfaatkan kira-kira 3 juta imej kulit buku yang telah dimuat naik oleh para pengguna mereka. Selama ini ada perpustakaan yang menggunakan khidmat berbayar untuk mendapatkan imej-imej kulit buku bagi mewujudkan sistem katalog yang lebih mesra pengguna.

Demikian juga Amazon.com, pemain penting dalam dunia aplikasi web, di mana polisi data terbuka mereka memungkinkan peluang orang lain untuk menjadi rakan kongsi perniagaan sehingga tahap individu dengan memautkan data buku serta membuka cawangan kedai maya Amazon dalam talian milik sendiri di blog atau laman web masing-masing.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • Twitter
  • RSS

0 Response to "Makna web 2.0"

Post a Comment